Tidak gentar tindakan Siti Kasim


W SAIDATUL NAJEMUDIN
21 SEPTEMBER 2017
Tidak gentar tindakan Siti Kasim

Alias bersama pemimpin dan ahli Pas negeri menunjukkan laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Tindakan Siti Kasim untuk menyaman Pas jika parti itu dan Harakahdaily tidak memohon maaf kepadanya berhubung isu ibadah korban dalam tempoh 48 jam bermula semalam, tidak menghalang Pas Terengganu membuat laporan polis terhadap peguam tersebut mengenai isu sama.
Laporan polis dibuat Pas Terengganu terhadap Siti Kasim dan David Orok berhubung isu tersebut yang disifatkan satu penghinaan terhadap Nabi Ibrahim dan Islam di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 3 petang, semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dr Alias Razak berkata, jika Siti Kasim mahu menyaman Pas berhubung isu tersebut, terserah kepada peguam itu namun pihaknya membuat laporan polis untuk memastikan siasatan dijalankan ke atas kedua-duanya berasaskan undang-undang.
“Kita sekarang telah membuat laporan supaya diadakan siasatan, bukan menghukum dia. Siasatan terhadap apa yang tertulis dalam Facebook masing-masing. Soal dia nak saman, insya-ALLAH akan diurus oleh Pas melalui Lajnah Undang-Undang kita, insya-ALLAH. Itu (dua perkara) berasingan.
“Ini kita buat kerana yakin dalam kenyataan dia memang menyentuh dan menghina penganut-penganut Islam dan agama Islam itu sendiri. Soal dia hendak saman balik terpulang, itu kebebasan dia dari segi undang-undang negara kita,” katanya di luar perkarangan Balai Polis Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Laporan tersebut dibuat oleh Penolong Setiausaha Pas, Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu.
Turut hadir, Setiausaha Pas Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu, Azrin Aris.
Status dibuat Siti Kasim dan David Orok merupakan satu dakyah menyeleweng dari fakta dan maksud serta tujuan sebenar yang difahami dan diterima secara teguh oleh umat Islam serta para ulama, selain mewajarkan keterangan secara bohong dan palsu.
Jelasnya, ia juga berunsur penghinaan melampau, menimbulkan rasa tersinggung dan hasutan hingga boleh bangkitkan ketidakharmonian antara pihak, berpotensi bangkitkan rasa permusuhan antara agama, mencetuskan hubung tegang, membuka ruang kebencian serta salah faham masyarakat awam mengenai ajaran Islam.
“(Pas Terengganu) mendesak pihak berkuasa agama memanggil dan memberi kaunseling khusus kepada Siti Kasim kerana kenyataan nya bercanggah dengan warta fatwa Terengganu bahawa hanya anutan ahli sunnah wal jemaah dibenarkan beramal manakala selainnya adalah satu kesalahan jenayah syariah yang serius,” katanya.
Mengulas lanjut, Pas Terengganu turut mendesak satu rang undang-undang khusus digubal bagi menyekat dan menghukum mana-mana individu sama ada Muslim atau tidak atau mana-mana pertubuhan berdaftar atau tidak yang bermaksud mengembangkan rasa hina dan benci terhadap ajaran Islam atau institusi Islam dalam negara.
Alias berkata, ia termasuklah dalam apa jua bentuk kenyataan perbuatan atau tindakan sama ada bertulis atau ucapan dibuat dan disebarkan dalam media sosial dengan sengaja atau tidak hendaklah dihukum denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Iklan:
Komen : PERINGATAN: 1MEDIABARU tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

KEMATIAN ADAT MELAYU VS ISLAM

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu 2017/2019

Mohd Nasir Awang Besut Meninggal Dunia